Dah Setahun Nasi Lemak Pandan Mieeza Beroperasi | Salam... Bukan senang bisnes yang kita usahakan boleh kekal lama kecuali kita banyak berusaha, rajin, bersabar, cekal, tidak malu, jangan mudah berputus asa, bertawakal, berdoa dan sebagainya.



Nasi Lemak Pandan Mieeza
Banner Nasi Lemak Pandan Mieeza


Dah Setahun Nasi Lemak Pandan Mieeza Beroperasi

Pejam-celik, pejam-celik Dah Setahun Nasi Lemak Pandan Mieeza Beroperasi. Alhamdulillah, tiada apa-apa rintangan dan halangan untuk untuk tidak meneruskan perniagaan ini.

Pada mulanya tiada niat di hati hendak menjadi pengusaha perniagaan menjual Nasi Lemak Pandan Mieeza. Memang dari dulu berniat mahu buat bisnes tetapi bukan menjual nasi lemak pandan. Bisnes yang saya maksudkan adalah menjual barangan di internet, tidak kiralah produk sendiri, dropship atau jadi pembekal. Apa yang penting income masuk.

Orang kata berhijrah ke Kuala Lumpur perlu membuat lebih daripada satu kerja. Disebabkan saya berhijrah dari Kelantan ke Kuala Lumpur, maka tidak ada cara lain, melainkan kita mencari alternatif lain seperti buat part time atau berniaga di sebelah malam. Sementara di waktu siang kerja tetap di Secret Recipe.

Begitulah kehidupan seharian saya sekeluarga apabila tinggal di ibukota. Perlu buat lebih daripada dua kerja. Walaupun badab letih, penat dan mengantuk, namun demi menyara keluarga, kerja harian tetap diteruskan.

Maklum sajalah banyak kena bayar seperti sewa rumah, bil elektrik, bil air, minyak kereta, minyak motosikal, ansuran bayar kereta, barangan elektrik, perbelanjaan sekolah anak, perbelanjaan anak di kolej dan sebagainya.


Perancangan Masa Depan


Setiap kerja yang dilakukan perlu ada perancangan. Masa mula-mula berjinak dengan bisnes menjual nasi lemak pandan adalah sewaktu bekerja di Secret Recipe. Sebelum masuk kerja pukul 8.30 am, saya menjual nasi lemak, nasi berlauk ikan aya (ikan tongkol) dan nasi berlauk ayam goreng dan gulai ayam. 



Dah Setahun Nasi Lemak Pandan Mieeza Beroperasi
Jual Nasi Depan Secret Recipe


Sekurang-kurangnya dapat juga pendapatan sampingan selain dapat gaji tetap. Selepas itu, perancangan masa depan dalam diri ini semakin membara dan bertekad untuk membuka gerai. 

Saya terpaksa meminjam dengan majikan RM2500 untuk merealisasikan impian bagi mencapai target untuk berniaga sendiri dengan membuka gerai. Alhamdulillah... dapatlah pinjaman tersebut dan membayar secara ansuran dengan pemotongan gaji bulanan sebanyak RM300. 

Dengan berbekalkan RM2500 (pinjaman)  + RM1000 (duit simpanan), saya membeli canopy 1 set, kaki meja 2 biji, plywood 3 keping, alas meja, perkakas dapat seperti senduk, pisau, sudu, bekas makanan (plastik) dan lain-lain lagi.

Selepas itu, saya membuat pemohonan lesen perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lesen penjaja sementara di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk berniaga di tempat khas (lot parking kereta) di Depan Mid Point Shopping Complex, Pandan Indah, Selangor/Kuala Lumpur. Alhamdulillah... ia diterima oleh MPAJ dan dibekalkan setahun lesen penjaja sementara dengan kadar sewa RM30 sebulan.

Berkat kesabaran, doa berterusan terhadap Allah Taala, maka hari ini perniagaan ini masih berjalan seperti biasa.

Alhamdulillah...syukur, pelanggan pun semakin bertambah. Ada pelbagai kaum yang membeli. Ada juga bangsa asing lain seperti Bangladesh, Thailand, Nepal dan Indonesia.

Semoga perancangan masa depan untuk lebih maju lagi akan berjaya. Insya Allah....


Menu Semakin Bertambah


Yalah masa mula-mula buka gerai, hanya menjual nasi lemak ayam goreng berempah bersambal ikan bilis, kerang, sotong, udang dan semakin bertambah menunya seperti nasi putih dan nasi kerabu. 

Lauk-pauk lain seperti ayam masak merah, ikan keli berlada, ayam rendang, gulai ikan tongkol, daging goreng campur kacang panjang, daging bakar dan banyak lagi.

Dalam sibuk berniaga, muncul seorang insan istimewa (rakan blogger), Auni Afeeqah @ Tunsha Ayuni. Inilah kali ke-2 beliau singgah di gerai saya. Beliau beli 4 bungkus sekaligus. Sambal pilihan beliau adalah sambal paru sementara suaminya pula adalah sambal kerang. Katanya "Sedap". Nak tahu, jom singgah di blog beliau dengan entrinya berjodol "Kali Kedua Makan Nasi Lemak Pandan Mieeza".

Dah Setahun Nasi Lemak Pandan Mieeza Beroperasi, saya terasa amat bersyukur kepada Ilahi yang memberikan saya rezeki yang tidak pernah kering. Sentiasa ada rezeki melimpah-ruah. Walaupun tidak pernah dapat RM600 semalaman tetapi sudah cukup berpuas hati dengan apa yang Allah berikan. Mana tahu, suatu hari nanti ada pula buka cawangan lain. ha...ha...

Lokasi: Depan Mid Point Pandan Indah,  Jalan Pandan Indah 1/25, Ampang,  Selangor.

Hubungi: 0177774717 @ 0139995015 @ 0173932889.

Sekian,  terima kasih yang sudi baca dan terus jadi pelanggan setia di gerai saya.