MELAKA - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihatkan penyokong-penyokong parti pada hari penamaan calon esok supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan melanggar undang-undang bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan khas untuk membantu parti politik diingatkan supaya tidak melakukan kekacauan yang boleh mencemarkan proses penamaan calon. "Kalau menyokong tiada masalah, tetapi jangan datang terlalu ramai di pusat penamaan calon. "Paling hampir untuk yang lain mendekati pusat penamaan ialah 50 meter dari bangunan berkenaan," katanya ketika membuat tinjauan persiapan SPR di Dewan Tun Ali di sini. Abdul Aziz berkata hanya calon, pencadang dan penyokong sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam dewan. Beliau berkata pada proses penamaan calon itu juga tidak dibenarkan sama sekali para penyokong atau sesiapa yang mengiringi calon membawa alat-alat muzik, pembesar suara dan membuat ceramah politik.

 Bernama: (Sinar Harian)


PRU13,Penamaan calon,proses,borang,daftar pemilih,calon, bertanding
PRU13 - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Portal Rasmi PRU13 (SPR).Tarikh: 20 April 2013.

APAKAH MAKSUD HARI PENAMAAN CALON?

Selepas Pegawai Pengurus menerima writ pilihan raya (surat kuasa untuk melaksanakan pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR) maka beliau akan mengeluarkan satu notis memaklumkan tarikh, tempat dan masa penamaan calon. Notis berkenaan biasanya dipamerkan di tempat-tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai seperti di perhentian-perhentian bas, Pejabat-pejabat Pos, Pejabat-pejabat Daerah, Majlis-majlis Perbandaran/Daerah, Balai-balai Raya dan sebagainya.
Penamaan Calon bolehlah diertikan sebagai suatu proses dalam tempoh masa yang bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi pada sesuatu hari yang ditetapkan dalam notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus bagi membolehkan seseorang calon, pencadang dan penyokong, kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka untuk menyerahkan Kertas Penamaan Calon kepada Pegawai Pengurus.

PENGISIAN BORANG PENAMAAN CALON

Untuk bertanding di sesuatu kerusi Dewan Rakyat, seseorang calon perlu mengisi Borang 4 dan 5 manakala untuk bertanding bagi sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri, seseorang calon perlu mengisi Borang 4A dan 5A

PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIISI DI DALAM KERTAS PENAMAAN CALON

-MENGISI BORANG 4 & 5 (BAGI CALON KERUSI PARLIMEN) lihat borang di sini
-MENGISI BORANG 4A & 5A (BAGI CALON KERUSI D.U.N) lihat borang di sini

PUSAT PENAMAAN CALON

Seksyen 24A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan kawasan 50 meter daripada Pusat Penamaan Calon sebagai zon larangan pada Hari Penamaan Calon. Walau bagaimanapun, Sub Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 membenarkan calon, penyokong dan pencadangnya berada di Pusat Penamaan Calon.
Selain daripada itu, Pegawai Pengurus, Penolong Pegawai Pengurus, Petugas-Petugas Pilihan Raya, Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya serta Pegawai-Pegawai Kanan dan kakitangan SPR yang bertugas sahaja dibenarkan untuk masuk ke Pusat Penamaan Calon. Mereka yang tidak berkenaan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan zon larangan 50 meter dari Pusat Penamaan Calon.

PENYERAHAN BORANG PENAMAAN CALON

Mengikut Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 seseorang calon hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon sama ada Borang 4 atau Borang 4A kepada Pegawai Pengurus di antara jam 9 hingga 10 pagi pada hari penamaan calon. Sub Peraturan 6 (2) peraturan yang sama juga menetapkan bahawa Kertas Penamaan Calon tersebut bolehlah diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong atau oleh salah dua orang dari mereka atau salah seorang daripada mereka kepada Pegawai Pengurus pada masa yang ditetapkan. Tempat penyerahan Kertas Penamaan Calon ini ialah di Pusat Penamaan Calon seperti mana yang dinyatakan oleh Pegawai Pengurus di dalam Notis yang telah beliau keluarkan.

Kertas Penamaan Calon iaitu Borang 4 atau Borang 4A, Borang Akuan Berkanun iaitu Borang 5 atau Borang 5A perlulah diserahkan kepada Pegawai Pengurus dari jam 9 pagi hingga 10 pagi pada hari yang telah ditetapkan sebagai Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon seperti yang dinyatakan di dalam notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus.

Kemudian, seseorang calon dikehendaki membayar deposit sebanyak RM10,000 jika hendak bertanding bagi sesuatu Bahagian Pilihan Raya Parlimen atau RM5,000 jika beliau hendak bertanding bagi sesuatu Bahagian Pilihan Raya Negeri seperti yang ditetapkan di bawah Sub Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981. Jika calon telah pun membuat bayaran wang deposit yang ditetapkan sebelum hari penamaan calon kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri atau kepada Pegawai Pengurus, maka calon atau penyokong atau pencadang perlu mengemukakan resit deposit kepada Pegawai Pengurus.

Untuk artikel seterusnya boleh layari di sini.

Sumber : Portal Rasmi PRU13 SPR.